Wednesday, October 20, 2010

CATATAN KENANGAN BERSAMA TUN MUSTAPHA DAN REALITI POLITIK SABAH

CATATAN KENANGAN BERSAMA TUN MUSTAPHA DAN REALITI POLITIK SABAH
Oleh ONN ARIFFIN

Jagalah Sabah dengan baik. Itulah diantara ayat yang memisahkan kami, kerana lebih kurang 18 jam kemudiannya, Tun Mustapha telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya dan Datuk Dayang Mahani tertanya-tanya, apakah Tun yang baru kami jumpa semalam di bilik rumah sakit Sabah Medical Centre telah pergi, sedangkan diantara perbualan kami tidak ada tanda-tanda yang Tun tenat. Selalunya kalau pesakit tenat, sekurang-kurangnya ditempatkan di bilik rawatan rapi, mahu pun terdapat alat-alat sokongan nyawa yang bersambung disana sini.
Sepanjang perbualan tidak putus-putus kami berjenaka, sampai sempat kami mengusik beliau, dengan kata-kata “Kalau Tun masih boleh marah-marah dengan anak-anak, terasa sangat yang Tun tidak sakit” - “Kamu ini ada-ada sahaja” jawapan beliau.
Tun pandai menyembunyikan penyakitnya. Itulah Tun yang kita semua kenali. Jarang sekali menunjukkan keluhan dan kesusuahan kerana beliau sedar seseorang pemimpin tidak harus menunjukkan kelemahan walau pun diri dalam penderitaan. Teringat saya waktu beliau menjalani pembedahan diluar negara. Cerita ini dirahsiakan sehingga timbul pelbagai tanggapan terhadap pemimpin yang merahsiakan keadaan Tun.
Saya yakin sebelum beliau pergi, beliau telah menurunkan pelbagai pesanan yang menjadi wasiat kepada pemimpin-pemimpin kanan sehingga ke saat akhir. Kalau semua pemimpin kanan duduk berbincang dan mengimbau semula kata-kata Tun, sudah tentu kita akan berjumpa dengan corak pemikiran Tun yang boleh dijadikan pegangan kita.
Saya sedar kata-kata yang disebutkan oleh Tun sudah berakhir, namun apabila kita renung sejenak banyak persoalan yang tidak dapat dijawab kerana banyak perkara diluar jangkaan telah berlaku di persekitaran politik Sabah, lebih-lebih lagi diseluruh tanah air.
Kemasukkan UMNO ke Sabah melalui proses perundingan diantara USNO dan UMNO. 12 wakil rakyat USNO yang diketuai oleh Tun Mustapha adalah kumpulan perunding utama, sementara sebahagian besar dari Ahli Majlis Tertinggi USNO ikut serta.
Kalau pun ada pihak yang menuntut bertanggung jawab membawa masuk UMNO ke Sabah ia tergolong dalam kumpulan pelobi, kerana walau apa pun yang diperkatakan USNOlah yang secara rasminya membawa UMNO ke Sabah.
Saya tidak ikut serta dalam perundingan dan tidak mengetahui sejauh mana dan setakat mana perundingan yang mesti mengambil kira kebajikan dan peranan orang-orang USNO apabila kita di serapkan didalam UMNO. Sungguh pun begitu garis panduannya menentukan bahagian UMNO yang ditubohkan hendaklah memberi tempat khas kepada wakil-wakil rakyat USNO menganggotai Jawatan Kuasa UMNO Bahagian.
Kerapkali saya cadangkan kepada isteri saya supaya menulis apa juga nota mengenai perundingan, akan satu hari boleh dirujuk semula sebagai rekod yang dipersetujui dan dituntut urusan-urusan yang belum diselesaikan kalau pun tidak dalam bentuk bantahan, setidak-tidaknya sebagai kesan sejarah.
Dalam UMNO semua kawasan Parlimen dijadikan satu Bahagian. Diwaktu USNO setiap kawasan Dewan Undangan Negeri adalah satu Bahagian. Oleh itu, setiap Bahagian UMNO ada yang mengandungi 2 dan 3 kawasan ADUN. Jumlah Jawatan Kuasa Bahagian menjadi kecil. Apa yang ditekankan ialah supaya Wakil-wakil rakyat USNO hendaklah menyertai Jawatan Kuasa Bahagian UMNO dan dibawa berunding. Malangnya hanya mereka yang mempunyai kerusi Parlimen sahaja yang layak berbuat demikian.
Sedangkan bagi kerusi ADUN, tidak seorang pun layak menyertai UMNO disebabkan wujudnya undang-undang lompat parti. Dengan sebab itu kuranglah berunding dan banyaklah kesangsian.
Secara sengaja atau tidak disinilah bermula proses penyisihan. Bayangkan mereka yang pada mulanya mengasaskan kemasukkan UMNO kini tidak lagi penting dan hilang peluang untuk ikut serta dan tidak dilibatkan dalam proses politik Sabah, sebab ruang itu sudah diserahkan kepada ahli-ahli yang kesemuanya tidak mempunyai kerusi dalam Dewan Undangan Negeri kecuali Tun Mustapha.
Sungguh pun UMNO dan USNO terlalu asyik dengan proses perundingan sekali sekala sampai juga ke telinga Pak Tun, yang kemasukan UMNO tidak menguntungkan orang-orang USNO. Apa juga yang berlaku sama ada dalam keadaan baik mahu pun dalam masa tidak ketentuan ia telah dipantau oleh pihak ketiga. Bulan November, 1990 hingga Februari 1991 adalah bulan-bulan yang amat mencabar kerana terlalu banyak keputusan yang menyangkal diantara satu sama lain. UMNO hampir tidak dapat meneruskan keputusan untuk bertapak di Sabah.
Apa bila pintu masuk UMNO ke Sabah bermula UMNO berhadapan dengan percaturan politik baru yang dirangka oleh PBS, kerana ada satu ketika Tun Mustapha dan beberapa pemimpin hampir menyertai kerajaan pimpinan PBS kerana dirasakan yang tawaran yang dibuat oleh UMNO mungkin tidak sempurna dan tidak menguntungkan.
Namun ada dua tiga pemimpin yang sudah pun terlanjur meneruskan niat mereka untuk menyertai PBS dalam kerajaan bercampur. Mungkin mereka berjaya, tetapi umur dan tempoh perkhidmatan mereka tidak menjangkau waktu kerana PBS memanggil pilihan raya semula. Hampir terkeluar kata-kata yang pernah saya sebut inilah namanya nasib orang “Kerja tak seberapa hari, pencen sepanjang zaman”
Saya menjadi mangsa pertama diantara mahu dan tidak mahunya kemasukkan UMNO ke Sabah. Saya telah menggagalkan perundingan Tun dengan PBS di luar Sabah yang hampir tercetusnya perubahan fikiran untuk membawa masuk UMNO ke Sabah. Ketika itu saya telah ditanya oleh kawan-kawan dari Majlis Keselamatan Negara tentang mana yang lebih penting diantara negara dan diri sendiri.
Jawapan tentulah jelas dan saya tidak perlu menjawab. Selepas berbuat sesuatu atas apa yang patut, keesokkan harinya dua panggilan telefon dari dua pemimpin sudah memadai untuk diketahui bahawa rancangan saya berjaya disebabkan saya diarah untuk tidak membuat kenyataan lagi. Panggilan telefon itu bolehlah diertikan yang saya tidak perlu berfungsi sebagai Pengarah Perhubungan Persekutuan Negeri (USNO), satu jawatan yang diwujudkan secara bersahaja ketika Tun menjawab soalan pemberita tentang apakah jawatan yang akan dipegang oleh saya selepas meninggalkan jawatan Pemangku Setia Usaha Agong USNO.
Dua bulan selepas jawatan saya berakhir dalam USNO, kesemua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO meletakkan jawatan untuk menyertai UMNO. Saya tersenyum dalam hati, dengan tanda tanya apakah perlu terkorban dahulu sebelum yang laimnya hilang jawatan kerana menyertai UMNO. Jawapannya dah jadi kosong sifar kosong.
Masalah ADUN USNO tidak boleh menyertai UMNO telah dapat di selesaikan setelah Mahkamah mengistiharkan undang-undang yang diluluskan oleh Kelantan untuk tujuan yang sama tidak sah. Namun begitu Datuk Karim Ghanilah menjadi mangsa sebagai wakil rakyat yang pertama di Malaysia yang telah melalui ujian undang-undang tersebut.
Pada awal lagi, memang telah dijangkakan bahawa ‘Anti-hop law’ bukanlah satu undang-undang yang merupakan undang-undang. Akan tetapi selagi tidak ada yang mempertikaikan kesahihan undang-undang ini, jangan ada pula yang terperangkap.
Tun Mustapha mengambil sikap tidak mahu mencabar undang-undang tersebut. Bahkan sanggup meletakkan jawatan untuk bertanding semula di kerusi USUKAN. UMNO meletakkan Tun Mustapha sebagai calon di USUKAN dan menang. Maka lahirlah anak sulung UMNO di USUKAN.
Ada beberapa sebab mengapa beliau berbuat demikian. Diantara yang difikirkan, biarlah UMNO betul-betul memasukki Sabah melalui pintu depan dengan menjadikan kerusi USUKAN sebagai titik permulaan. Kemenangan Tun di USUKAN memperkuatkan keyakinan UMNO diatas kemampuan Tun mengetuai UMNO di Sabah.
Politik dalam UMNO berbeza dengan USNO. Perebutan jawatan boleh mengakibatkan pemimpin tumbang. Sepatutnya semuanya berjalan lancar dan mudah. Kejayaan UMNO di Sabah membawa berita baik untuk ahli-ahli USNO, akan tetapi umur kegembiraannya tidak lama, kerana ditengah-tengahnya sudah tersedia satu ancaman baru yang melibatkan seluruh parti.
Tun tidak dapat mengelakkan diri dalam perebutan kuasa jawatan Timbalan Presiden UMNO diantara Pak Ghafar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Allah yarham Tun Ghafar bekerja begitu kuat di Sabah. Sudah tentulah boleh mempengaruhi 20 Bahagian dan undi mereka dalam tangan, lebih-lebih lagi Tun Mustapha berada sebarisan dengannya dan sudah pun memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah.
Beliau layak bertanding disebabkan beliau hanya mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden. Apabila dicongak pada bilangan Pak Ghafar dalam kedudukan yang selesa hingga ke satu saat. Proses bertandingan UMNO di kira dari peringkat pengundian di Bahagian dalam fasa pertama. Jumlah ini akan dicantum dengan keputusan sebenar semasa pemilihan.
Pak Ghafar membaca keadaan dan sedar beliau berada pada tempat yang betul tetapi dalam keadaan yang salah. Beliau mengambil keputusan untuk berundur diri dalam semua jawatan. Ini meletakkan Tun Mustapha dalam keadaan yang serba salah kerana beliau tidak dapat lagi mengukur sokongan pemimpin-pemimpin UMNO Sabah kerana Datuk Seri Anwar telah mewujudkan satu gelombang baru di Sabah.
Apabila Pak Ghafar mengundur diri, kedudukan Ketua Perhubungan UMNO Sabah diserah kepada Tun Sakaran Dandai. Tun Mustapha menyedari apa yang berlaku dan mengambil keputusan untuk berundur dari UMNO dan sekali gus meletakkan jawatan Menterinya.
Disinilah letaknya proses kedua penyisihan dalam UMNO Sabah. Sesiapa sahaja yang dianggap orang Tun Mustapha sudah tidak dianggap releven. Dalam pemilihan UMNO begitu ketara sekali siapa sahaja yang dianggap orang Tun akan dikorbankan semasa pemilihan.
Politik Malaysia tidak ‘statik’ kerana kerap kali ada sahaja tuntutan baru. Sementara Sabah menunggu masa untuk mantap dalam politik, UMNO juga berhadapan dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Betapa pula nasib dengan bahagian-bahagian yang kuat dengan Anwar dan dalam masa yang sama Sabah berada dalam era perubahan Kerajaan dimana UMNO menjadi tulang belakang Barisan Nasional negeri, sungguh pun pengambilan Kerajaan negeri dibuat tanpa melalui mandat rakyat.
UMNO kehilangan 3 pemimpin terpenting yang telah memandu perjalanan hidup berpolitik di Sabah disaat akhir kemasukan UMNO. Pimpinan Sabah kehilangan orang yang mencipta perubahan di Sabah. Pedoman mula bertukar kepada melakar perjalanan politik dengan acuan, pemikiran dan cara masing-masing.
Dengan cara tak langsung lahirlah pemikiran lebih UMNO dari UMNO dari yang berfikirkan USNO. Orang-orang Sabah sudah mula meniru-niru ragam politik yang bermain dalam UMNO. Budaya UMNO begitu meresap di Sabah. Mana yang baik tidak digunakan sebaik-baiknya dan yang tidak harus menjadi pemakaian budaya yang merasuk pemikiran mereka dalam berpati.
Ramalan-ramalan politik yang dibuat ketika kemasukkan UMNO di Sabah sudah tidak menjadi. Ada kalangan pemimpin yang sudah mula menganggap yang mereka dilahirkan untuk berpolitik dan ada yang berpolitik mengikut ukuran keluarga-keluarga yang kecil.
Berapa ramaikah bekas pemimpin-pemimpin USNO yang dapat mempertahankan kedudukan mereka dalam Bahagian. Malah mereka tidak pun dipertahankan. Ada sahaja cara untuk menjatuhkan mereka. Disinilah mulanya proses yang ketiga dan yang terhebat.
Kontrak diantara USNO dan UMNO mungkin sudah berakhir, tetapi kontrak diantara orang-orang USNO dengan rakyat Sabah mungkin belum berakhir. Orang-orang Sabah tetap memikirkan perjuangan Tun Mustapha. Kerana Tunlah segala-galanya. Biarlah kalau nama Tun tidak dikenang ketika menyambut Hari Malaysia namun ia tetap terukir dalam sanubari orang-orang Sabah. Kita rindukan pimpinan yang sanggup merapatkan dirinya dengan anak-anak buah politiknya dalam masa susah dan dalam kesenangan. Berapa ramaikah pemimpin Sabah yang menjadi kaya raya ketika Tun memegang jawatan Ketua Menteri.
Mungkin apa yang dilakukan oleh Datu Amir Kahar semasa menyambut Perayaan Hari Raya di kediamannya boleh menjadi titik permulaan untuk orang-orang lama berpolitik dalam USNO kembali beramah mesra dan mengenang masa nostalagia mereka. Pemimpin baik yang berjawatan mahu pun sudah bersara boleh berhadapan dengan tekanan perasaan kesunyian kalau tidak sering berjumpa diantara satu yang lain. Bekerja dalam politik adalah satu tugas yang berat, seronok tapi kadang kala sepi. Itulah undang-undang hidup yang tidak mudah dipakai dan sukar dipertikaikan.
Apa yang berlegar di persekitaran politik menjadi tanda tanya kepada banyak pihak. Adakah selamat berpolitik dalam masa sekarang sedangkan musuh UMNO bukan lagi terletak di Kelantan kerana ramainya agen-agen politik luar dalam senyap menyengat UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Empat negeri turut terkorban dalam percaturan terakhir.
Sabah mestilah mencari nasib politiknya sendiri dan kalau ada pemimpin-pemimpin yang asyik dengan budaya politik yang tidak tepat, ia juga kelak membuka ruang untuk memanggil politik yang menyebabkan orang-orang Sabah kurang selesa.
Sabah kaya dengan gaya dan ketrampilan politiknya tersendiri. Bukankah Sabah yang telah banyak melahirkan ilmu baru dalam politik sehingga menjadi ikutan di negeri-negeri Semenanjung bahkan politik Sabahlah yang telah menyelamatkan Kerajaan Pusat dibawah Parti Perikatan dan Barisan Nasional dalam tahun 1969 dan 1990.
Ramai yang berpendapat dengan tidak mempunyai kedudukan tidak semestinya kita tidak perlu memikul tanggung jawab “Jagalah Sabah Baik-Baik” akan tetapi tidakkah ia lebih baik kalau kita mempunyai kedudukan mahu melihat apa yang berlaku dalam negeri kita sendiri dengan mengukur diperingkat mana kita boleh memikul amanah yang ditinggalkan oleh Tun Mustapha.
Saudara Awang Usman mungkin akan ketawa besar dalam nada yang tinggi, sebab itulah ‘trade mark’ yang diberikan oleh Tan Sri Sanusi Jonid kepadanya, kalau beliau memantau tulisan ini.
Meminjam kata-kata Datuk Karim Ghani bahawa Sabah tenang semasa pemerintahan USNO. Pada saya mungkin boleh ditambah dengan kata-kata tentu sekali kalau semangat Tun Mustapha boleh dibawa, ia mungkin lebih tenang lagi. Maaf brother.
*Onn Arifin, penulis adalah Mantan Pemangku Setiausaha Agung USNO