KOTA KINABALU: Yayasan Asia Eropah (ASEF) dicadang agar menambah bilangan bilik darjah siber supaya kerjasama lebih erat dapat dijalinkan di kalangan negara anggota.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini kerana bilik darjah siber masih lagi belum diwujudkan sepenuhnya di negara-negara anggota sama ada di Asia atau Eropah.
"Dengan bertambahnya bilik darjah siber ini, lebih banyak kerjasama dapat dillakukan, setakat ini, kita telah pun menerima 27 cadangan untuk menjalin kerjasama atau projek," katanya ketika berucap pada Persidangan Bilik Darjah Asia Eropah (AEC-NET) 2008 kali ke-7 di sini.
Sebelum ini, ASEF melalui persidangan itu, menjalankan kerjasama dengan sekolah-sekolah menengah di Asia dan Eropah bagi meningkatkan kaedah pembelajaran dan hubungan kebudayaan.
Bilik darjah siber telah dimulakan sebelum ini untuk meningkatkan jaringan kerjasama dan perkongsian maklumat.
Alimuddin berkata, dengan adanya bilik darjah siber, sesi dialog, kerjasama atau projek yang dilaksanakan bersama akan bertambah mudah dan cepat walaupun melibatkan banyak negara sekali gus.
Mengenai persidangan tersebut, beliau berkata, banyak manfaat atau pengalaman baru yang boleh dipelajari oleh negara-negara anggota dengan bertukar-tukar idea dan fikiran.
Katanya, persidangan itu akan memberi peluang kepada warga pendidik dan juga pelajar-pelajar sekolah menengah mengenai cara-cara menggunakan teknologi maklumat (ICT) dalam pelajaran secara berkesan.
Sementara itu, Ketua ASEF Malaysia, Datuk R.Vengadesan memberitahu, seramai 12,000 pelajar sekolah menengah dari negara anggota telah terlibat dalam pelbagai kerjasama dan projek secara dalam talian sejak 1998.
Jelasnya, jumlah tersebut melibatkan 500 buah sekolah menengah dari 36 buah negara Asia dan Eropah.
No comments:
Post a Comment