DEMOKRASI,PLURALITI DAN PRU-13
Oleh Dr.Siddiq Fadzil
Pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat.
Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang
bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang
membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar
al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan).
Tetapi pilihan raya
hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat
menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan
penuh rasa tanggungjawab.
Dalam kaitan inilah relevannya gerakan
pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang
adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang
tepat.
Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi
mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh
rakyat, untuk rakyat.
Demokrasi dan Media
Dalam
era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu
dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan
raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press),
yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press)
dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan
media.
Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk
dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi
lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk
menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.
Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a:
Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah
(Ya
Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami
keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata
batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya).
Kebebasan
media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan
raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang
kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).
Sebagai
image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang
tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang
calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai
demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat
yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang
bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat
jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.
Mengundi Sebagai Kesaksian
Dilihat
dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak,
yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu
sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia
adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh
ditolak apabila dipanggil,
“…Dan janganlah saksi-saksi itu
menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi
bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan
berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan
kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor
(berdosa)…” --- al-Baqarah: 283.
Kesaksian dalam konteks pilihan
raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap
kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas:
qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti
moral dan berkompetensi intelektual).
Kerana itu yang harus
layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang
harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl
(keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di
antara kamu…” -- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti
atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang
menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an.
Memberikan
kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik
sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah
(penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan
dusta.” -- al-Hajj:30.
Ternyata mengundi dalam pilihan raya
tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi
juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus
dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana
kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu
tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2.
Untuk
memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam
pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik,
tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan
tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra
kosmetik.
Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap
samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia,
dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.
Demokrasi hanya akan
sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan
enlightened. Demokrasi akan mati dalam oreintasi politik ke-fir`aun-an
yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan
yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka
mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..”
-- al-Zukhruf:54.
Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi
mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa
hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang
mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar
disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun
yang telah merompak habis harta-bendanya.
Jadilah mereka rakyat
yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman,
“…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang
lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti
kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan
anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.
----------------------
*
(Tulisan ini berdasarkan teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat,
di Dewan Kompleks Belia dan kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).
dipetik dari bm.harakahdaily.net
Monday, March 11, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment